Pengajaran drp Kelahiran Rasulullah.

Tuesday, March 9, 2010

 KAABAH  DILIHAT DARI SATELIT
 5 Sifat /wawasan Rasulullah  sebagai Iktibar

1) Memanfaatkan sumber manusia

Seruan dakwah Rasulullah SAW pada peringkat awal hanya diterima oleh golongan yang lemah dan miskin sahaja. Hikmahnya adalah untuk membuktikan bahawa ajaran Islam diterima kerana hidayah dan kekuasaan Allah SWT, bukan kerana dipengaruhi oleh pangkat dan kekuasaan yang dimiliki oleh manusia.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
 Kita perlu meletakkan kualiti sebagai asas penilaian dan meritokrasi sebagai kaedah pengukuran dalam proses pemilihan pengikut atau ahli.
 Orang yang lemah atau miskin tetapi memiliki kemahuan dan semangat yang tinggi perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.
 Kita dituntut untuk berusaha sedaya-upaya menyampaikan seruan dakwah Islam, namun hidayah adalah hak mutlak Allah SWT.

2) Meminimumkan sumber pembiayaan

Penentangan, sekatan, pemulauan dan penyeksaan yang dihadapi oleh Rasulullah SAW mengakibatkan berlakunya kekurangan sumber pembiayaan untuk melaksanakan usaha dakwah. Rasulullah SAW telah membuktikan kepada pihak musuh bahawa pergantungan usaha dakwah bukanlah segi harta benda atau material tetapi diletakkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Justeru, usaha dakwah Baginda SAW tetap diteruskan dengan penuh komitmen.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:

 Faktor kebendaan atau material sememangnya diakui penting untuk menggerakkan dakwah, namun bukanlah menjadi faktor penentu yang bersifat mutlak.
 Matlamat mendapat ganjaran terbaik di akhirat perlu dijadikan sebagai dorongan untuk menghadapi segala kesusahan.
 Kita mestilah meyakini bahawa rezeki ditentukan oleh Allah SWT bukannya terletak di tangan manusia.

3) Tinggi daya inspirasi

Kematian Khadijah dan Abu Talib yang menjadi tulang belakang usaha dakwah Rasulullah SAW pada tahun kesepuluh selepas kenabian merupakan peristiwa pahit yang terpaksa ditempuhi. Tahun tersebut digelar sebagai Tahun Dukacita bukan kerana terlalu bersedih atas kematian mereka berdua, tetapi kerana hasil dakwah yang berkurang berbanding semasa kedua-duanya masih hidup. Hikmahnya ialah menolak tohmahan musuh bahawa usaha dakwah berjaya disebarkan kerana kewibawaan kedua-dua tokoh tersebut.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
 Usaha dakwah dilaksanakan berdasarkan pada perintah Allah SWT dan tidak terikat dengan mana-mana tokoh atau peribadi.
 Kehidupan setiap manusia akan sampai ke penghujung usia, justeru usaha yang disandarkan pada mana-mana tokoh tidak akan kekal bertahan.
 Usaha menyampaikan dakwah adalah amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap generasi umat Islam. Kita berperanan seumpama mata rantai pada perjuangan yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW.

4) Berani berhijrah

Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam berhijrah ke Madinah setelah mendapati tekanan dan penyeksaan oleh golongan kafir Quraisy ke atas mereka semakin menjadi-jadi. Maka para sahabat secara bersembunyi telah keluar dari Kota Mekah menuju ke Kota Madinah. Hanya Umar Al-Khattab yang mengisytiharkan penghijrahannya secara terang-terangan, namun tidak ada seorang pun yang berani menahan hasratnya itu.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
 Kita dituntut untuk berhijrah atau berubah ke arah yang lebih baik.
 Kegagalan untuk berubah akan mengakibatkan kita ketinggalan sama ada segi ilmu, kemahiran, teknologi dan sebagainya.
 Kita perlu bijak memilih kaedah atau cara untuk melakukan proses perubahan supaya hasilnya adalah yang terbaik.

5) Strategik

Umat Islam dibenarkan berperang setelah dakwah Islam semakin berkembang luas dan ancaman yang dihadapi semakin kritikal. Secara asasnya peperangan yang berlaku di dalam Islam adalah untuk menegakkan keadilan, menumpaskan kekuasaan yang zalim dan seterusnya membebaskan perhambaan sesama manusia dan membawa pada pengabdian pada Tuhan Yang Maha Esa.

Antara pengiktibaran yang boleh dipelajari oleh kita ialah seperti berikut:
 Kita wajib mempertahankan maruah diri dan agama daripada sebarang ancaman.
 Kemampuan berfikir secara strategik akan membolehkan kita merancang kaedah dan pendekatan yang paling berkesan dalam pelaksanaan sesuatu tugasan.
 Tindakan pencegahan merupakan langkah terbaik untuk menghadapi ancaman.

0 Ulasan:

Post a Comment